Jumaat, Jun 11, 2010

Lompat Pagar Terkam Anak

JITRA: “Anjing itu melompat keluar pagar sebuah rumah di taman perumahan ini sebelum menerkam anak saya dan rakannya serta mencakar mereka.

CEDERA...Ridzuan (kiri) menunjukkan kesan calar di telinga kanan Syurfa, manakala Mohd Arzamalimi menunjukkan calar di badan Mohd Firhan.
CEDERA...Ridzuan (kiri) menunjukkan kesan calar di telinga kanan Syurfa, manakala Mohd Arzamalimi menunjukkan calar di badan Mohd Firhan.
“Mujur ada jiran ternampak kejadian itu lalu memukul anjing itu beberapa kali dengan kayu sebelum haiwan itu melarikan diri,” kata Ridzuan Hashim.

Ridzuan, 35, bapa kepada kanak-kanak perempuan Syurfa, 4, berkata anaknya dan anak jiran mereka, Mohd Firhan Mohd Arzamalimi, 4, cedera di belakang badan dan telinga dalam kejadian di Taman Pulasan, di sini, kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Katanya, haiwan peliharaan itu terus menerkam anaknya sehingga terguling-guling ke tanah dan menggigit tangan serta telinga anaknya berulang kali.

“Pada masa sama, anjing itu menyerang Mohd Firhan ketika itu berada tidak jauh dari situ sebelum mencakar belakang badannya.

“Kedua-duanya menjerit kesakitan menyebabkan isteri terdengar jeritan mereka dan menjerit meminta tolong jiran berhampiran,” katanya ketika ditemui di Hospital Jitra, semalam.
Syurfa mengalami kesan cakar di telinga, manakala Mohd Firhan pula mengalami kesan cakar di belakang badan dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital itu, semalam.

Menurut Ridzuan, jirannya itu baru berpindah ke kawasan perumahan berkenaan sejak beberapa bulan lalu dan sejak itu penduduk di kawasan perumahan itu tidak selesa tinggal di situ kerana anjing berkenaan menyalak kuat setiap kali orang melalui kawasan itu.

Berikutan itu, dia dan bapa Mohd Firhan, Mohd Arzamalimi Mohd Nawi, 35, kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu tengah hari semalam sebelum membuat aduan di Pejabat Veterinar Kubang Pasu untuk memaklumkan kejadian itu.

“Anak saya sekarang trauma apabila melalui kawasan taman permainan itu dan saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemiliknya kerana tidak mengikat anjing peliharaannya sehingga mengancam keselamatan penduduk di sini.

“Nasib baik anak saya dan jiran hanya luka ringan, jika tiada siapa ketika itu, mungkin mereka diserang lebih teruk lagi,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Veterinar Kubang Pasu ketika dihubungi memaklumkan pemilik anjing terbabit tidak mempunyai lesen dan sudah diberi amaran.

“Jika dia gagal mematuhi peraturan itu, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan,” katanya.


Sumber dari Mymetro

0 comments: