Rabu, Jun 09, 2010

Nikki Hamil Bayi Lelaki Hampir 5 Bulan

 

Teks oleh Haswari Ali
Foto oleh Mazlan Photography
KUALA LUMPUR, 8 JUNE 2010: Agak terkejut juga pemilik nama Nikki Palikat,25, bila mengethaui salah seorang wakil media yang hadir ketika sidang media Shout! The Mod Musical, di sini semalam sudah dapat mengesan dirinya sudah pun berbadan dua.
Tanpa berahsia lagi, Nikki atau nama penuhnya, Nicolette Louisa Palikat telah berkongsi serba sedikit rahsia kehamilannya yang kini sudah memasuki usia hampir 5 bulan.
"Ya saya sekarang sedang mengandungkan bayi lelaki. Syukur, walaupun saya dan suami tidak pernah menjangkakan untuk mendapatkan anak dalam masa terdekat, tetapi kehadiran bayi ini adalah permata paling berharga dalam perkahwinan kami," katanya yang mula menyedari dirinya hamil selepas Tahun Baru Cina yang lalu.
Nikki berkata, berbanding dengan dirinya, suaminya Audi Mok nyata lebih berhati-hati selepas mengetahui dirinya hamil, malah kalau boleh dia mahu isterinya itu mengamalkan pelbagai pantang larang sepanjang tempoh ini.
Tambah Nikki, selain mengamalkan pantang larang masyarakat Cina seperti mengelak daripada memakan nenas dia juga selalu mempraktikkan pelbagai pantang larang adat keturunan Kadazan yang menjadi keutamaannya.
Katanya, meskipun Audi terasa agak terkilan dengan jantina bayi yang bakal dilahirkan nanti, namun mereka berdua percaya, apa pun yang telah ditetapkan oleh Tuhan ke muka bumi itu nanti adalah anugerah tidak ternilai buat mereka berdua.
"Tulah, kalau boleh suami saya mahukan anak perempuan. Katanya senang dijaga dan senang dibelai manja. Saya pula tak kisah, sama anak perempuan atau lelaki, asalkan dia lahir dengan sihat sempurna," katanya.
Nikki telah menamatkan zaman bujangnya bersama komposer popular berkenaan pada 27 Jun tahun lalu di Petaling Jaya.
Sementara itu, Nikki berkata, dia tidak mengalami sebarang masalah untuk memegang watak sebagai The Yellow Girl menerusi pementasan muzikal dari Broadway, Shout! The Mod Musical yang akan dipentaskan di Kuala Lumpur Performing Art Centre (KL Pac) bermula 17 hingga 21 Julai ini.
Meskipun pementasan muzikal berkenaan menuntut dirinya untuk banyak bergerak bersama tarian dan nyanyian yang disampaikan, tapi itu bukan bermakna dia perlu menyerahkan diri sebelum berjuang
"Walaupun hamil, saya suka bergerak aktif. Saya perlu menerima peranan ini dengan rasa tanggungjawab dan profesional. Bukan bermaksud bila saya mengandung, saya perlu mendapat layanan berbeza daripada pelakon dan tenaga produksi yang lain.
"Tambahan pula, daripada nasihat doktor saya sendiri, dia juga menggalakkan saya untuk banyak bergerak dan bersenam supaya mengaktifkan pertumbuhan bayi di dalam perut saya ini," katanya.
Shout! The Mod Musical yang dibawakan oleh Broadway Academy (M) sdn Bhd dan diarahkan oleh Michael Voon itu turut dibintangi Ratu Soul, Ning Baizura dan pelakon senior dalam dunia pementasan teater Joanna Bessey.
Bercerita mengenai pengalamannya bekerjasa bersama Ning dalam satu produksi pementasan teater muzikal, Nikki berasa amat bertuah apabila buat pertama kalinya masing-masing dipertemukan sebagai pelakon dalam satu pementasan.
"Sama juga seperti dulu, saya masih menghormati Ning sebagai individu yang lebih tua daripada saya. Kalau dulu perasaan takut itu ada, kerana dia merupakan mentor dan guru saya, tapi sekarang kami lebih santai serta mudah bekerja. Tiada tekanan," katanya yang nyata gembira dengan gandingan itu.

Petikan dari murai.com.my



0 comments: